Rasul (Asy-Syura 26:5-53) Bentuk-bentuk wahyu Allah kepada manusia

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani(Al-Faatihah 1:1)

Dan tidak datang kepada mereka peringatan serta pengajaran yang baharu dari (Allah) Ar-Rahman, melainkan mereka tetap berpaling mengingkarinya.(Asy-Syu’araa’ 26:5)

Oleh kerana mereka telah mendustakan Al-Quran, maka sudah tentu akan datang kepada mereka berita-berita (azab) mengenai perkara yang mereka ejek-ejek itu.(Asy-Syu’araa’ 26:6)

Masihkah mereka berdegil dan tidak memperhatikan bumi, berapa banyak kami tumbuhkan padanya dari berbagai jenis tanaman yang memberi banyak manfaat?(Asy-Syu’araa’ 26:7)

Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat satu tanda (yang membuktikan kekuasaan dan rahmat pengurniaan Allah); dan (dalam pada itu), kebanyakan mereka tidak juga beriman.(Asy-Syu’araa’ 26:8)

Dan sesungguhnya Tuhanmu (wahai Muhammad) Dia lah sahaja Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani.(Asy-Syu’araa’ 26:9)

Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Tuhanmu menyeru Nabi Musa: “Hendaklah engkau mendatangi kaum yang zalim, –(Asy-Syu’araa’ 26:10)


“Iaitu kaum Firaun; tidakkah mereka mahu mengawal diri dari kemurkaanKu?”(Asy-Syu’araa’ 26:11)

Nabi Musa merayu dengan berkata: “Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku takut bahawa mereka akan mendustakan daku.(Asy-Syu’araa’ 26:12)

“Dan akan sempit pula dadaku serta tidak lancar lidahku; oleh itu utuskanlah perintahMu kepada Harun (supaya ia membantuku).(Asy-Syu’araa’ 26:13)

“Dan lagi mereka ada mengemukakan satu tuduhan jenayah terhadapku; oleh itu aku takut mereka akan membunuhku”.(Asy-Syu’araa’ 26:14)

Allah berfirman: “Jangan! Jangan fikir (akan berlaku apa yang engkau bimbangkan itu)! Oleh itu pergilah kamu berdua membawa mukjizat-mukjizat Kami (yang membuktikan kebenaran kamu); sesungguhnya Kami ada bersama-sama kamu: mendengar.(Asy-Syu’araa’ 26:15)

“Maka pergilah kamu kepada Firaun, kemudian katakanlah kepadanya: sesungguhnya kami adalah utusan Tuhan sekalian alam.(Asy-Syu’araa’ 26:16)

“Menyuruhmu membebaskan kaum Bani Israil mengikut kami”.(Asy-Syu’araa’ 26:17)

Firaun menjawab: “Bukankah kami telah memeliharamu dalam kalangan kami semasa engkau kanak-kanak yang baharu lahir, serta engkau telah tinggal dalam kalangan kami beberapa tahun dari umurmu?(Asy-Syu’araa’ 26:18)

“Dan (bukankah) engkau telah melakukan satu perbuatan (jenayah) yang telah engkau lakukan dan (dengan itu) engkau dari orang-orang yang tidak mengenang budi?”(Asy-Syu’araa’ 26:19)

Nabi Musa berkata: “Aku melakukan perbuatan yang demikian sedang aku ketika itu dari orang-orang yang belum mendapat petunjuk.(Asy-Syu’araa’ 26:20)

“Lalu aku melarikan diri dari kamu, ketika aku merasa takut kepada kamu; kemudian Tuhanku mengurniakan daku ilmu pengetahuan agama, dan menjadikan daku seorang RasulNya.(Asy-Syu’araa’ 26:21)

“Dan budimu memeliharaku yang engkau bangkit-bangkitkan itu adalah kerana engkau telah bertindak memperhambakan kaum Bani Israil.(Asy-Syu’araa’ 26:22)

Firaun berkata (dengan sombongnya): “Dan apa dia Tuhan sekalian alam itu?”(Asy-Syu’araa’ 26:23)

Nabi Musa menjawab. “Dia lah yang memiliki dan mentadbirkan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya, – kalaulah kamu mahu mendapat keyakinan dengan berdalil maka inilah jalannya”.(Asy-Syu’araa’ 26:24)

Firaun berkata kepada orang-orang yang ada di sekelilingnya: “Tidakkah kamu dengar (apa yang dikatakan olehnya)?”(Asy-Syu’araa’ 26:25)

Firaun berkata (kepada orang-orangnya): “Sebenarnya Rasul yang diutuskan kepada kamu ini, sungguh gila?”(Asy-Syu’araa’ 26:27)

Nabi Musa (menerangkan lagi tentang keesaan Allah dan kekuasaanNya dengan) berkata: “Dia lah yang memiliki dan menguasai timur dan barat serta segala yang ada di antara keduanya; kalau kamu orang-orang yang berakal tentulah memahamiNya!”(Asy-Syu’araa’ 26:28)

Firaun berkata: “Demi sesungguhnya! Jika engkau menyembah Tuhan yang lain daripadaku, sudah tentu aku akan menjadikan engkau dari orang-orang yang dipenjarakan”.(Asy-Syu’araa’ 26:29)

Nabi Musa menjawab: “Adakah (engkau akan memenjarakan daku juga) walau pun aku membawa kepadamu sesuatu bukti yang jelas nyata?”(Asy-Syu’araa’ 26:30)

Firaun berkata: “Kalau demikian, bawalah bukti itu jika betul engkau dari orang-orang yang benar”.(Asy-Syu’araa’ 26:31)

Nabi Musa pun mencampakkan tongkatnya, maka tiba-tiba tongkatnya itu menjadi seekor ular yang jelas nyata.(Asy-Syu’araa’ 26:32)

Dan ia mengeluarkan tangannya, maka tiba-tiba tangannya menjadi putih (bersinar-sinar) bagi orang-orang yang melihatnya.(Asy-Syu’araa’ 26:33)

Firaun berkata kepada ketua-ketua kaum yang ada dikelilingnya: “Sesungguhnya orang ini (Musa) ialah seorang ahli sihir yang mahir.(Asy-Syu’araa’ 26:34)

“Ia bertujuan hendak mengeluarkan kamu dari negeri kamu dengan sihirnya, maka apa yang kamu syorkan?”(Asy-Syu’araa’ 26:35)

Mereka berkata: “Tangguhkanlah dahulu (sebarang tindakan) terhadapnya dan terhadap saudaranya, serta hantarkanlah ke bandar-bandar (negeri Mesir) orang-orang yang mengumpulkan (ahli-ahli sihir),(Asy-Syu’araa’ 26:36)

“Supaya mereka membawa kepadamu segala ahli sihir yang mahir”.(Asy-Syu’araa’ 26:37)

Lalu dikumpulkanlah ahli-ahli sihir itu pada satu masa yang ditentukan, pada hari (perayaan) yang termaklum.(Asy-Syu’araa’ 26:38)

Dan dikatakan kepada orang ramai: “Berkumpulah kamu semuanya;.(Asy-Syu’araa’ 26:39)

“Semoga kita (tetap) mengikut (agama) ahli-ahli sihir itu kiranya merekalah orang-orang yang menang”.(Asy-Syu’araa’ 26:40)

Maka ketika ahli-ahli sihir itu datang, berkatalah mereka kepada Firaun: “Benarkah kami akan beroleh upah, kiranya kamilah orang-orang yang menang?”(Asy-Syu’araa’ 26:41)

Firaun menjawab: “Benar, (kamu akan mendapatnya) dan sesungguhnya kamu dengan itu akan menjadi dari orang-orang yang dekat kepadaku”.(Asy-Syu’araa’ 26:42)

Nabi Musa berkata kepada mereka: “Campakkanlah dahulu apa yang kamu hendak campakkan”.(Asy-Syu’araa’ 26:43)

Lalu mereka mencampakkan tali-tali dan tongkat-tongkat mereka sambil berkata: “Demi kekuasaan Firaun, sesungguhnya sudah tetap kamilah orang-orang yang akan menang”.(Asy-Syu’araa’ 26:44)

Kemudian Nabi Musa pula mencampakkan tongkatnya, tiba-tiba tongkatnya itu menelan apa yang mereka pura-pura adakan (dengan sihir mereka).(Asy-Syu’araa’ 26:45)

Maka (kemenangan Nabi Musa menjadikan) ahli-ahli sihir itu segera merebahkan diri: sujud,(Asy-Syu’araa’ 26:46)

Sambil berkata: “Kami beriman kepada Tuhan sekalian alam,(Asy-Syu’araa’ 26:47)

Sambil berkata: “Kami beriman kepada Tuhan sekalian alam,(Asy-Syu’araa’ 26:47)

“Tuhan Nabi Musa dan Nabi Harun”.(Asy-Syu’araa’ 26:48)

Firaun berkata: “Patutkah kamu beriman kepadanya sebelum aku izinkan kamu? Sesungguhnya dia lah (Musa) ketua kamu yang mengajar kamu ilmu sihir; oleh itu kamu akan mengetahui kelak (akibatnya). Demi sesungguhnya, aku akan memotong tangan dan kaki kamu dengan bersilang kemudian aku akan memalang kamu semuanya”.(Asy-Syu’araa’ 26:49) |

Mereka menjawab: “(Ugutanmu itu) tidaklah menjadi hal! Sesungguhnya kami (tidak gentar), kerana kepada Tuhan kamilah kembalinya kami.(Asy-Syu’araa’ 26:50)

“Sesungguhnya kami amat berharap supaya Tuhan Kami mengampunkan dosa-dosa kami, kerana kamilah orang-orang yang mula-mula beriman (dalam peristiwa ini)”.(Asy-Syu’araa’ 26:51)

(Allah berfirman): Dan Kami wahyukan kepada Nabi Musa: “Hendaklah engkau membawa hamba-hambaKu (kaummu) keluar pada waktu malam; sesungguhnya kamu akan dikejar (oleh Firaun dan tenteranya)”.(Asy-Syu’araa’ 26:52)

(Setelah mengetahui keadaan itu) maka Firaun mengutus (orang-orangnya) ke bandar-bandar (negeri Mesir), untuk mengumpulkan (tenteranya),(Asy-Syu’araa’ 26:53)
Share this content:


